Wednesday, December 29, 2010

Daurah Ilham Cinta

Imran masih menulis nota walaupun kelas sudah tamat. Dia khusyuk menulis sambil menukar-nukar pen yang pelbagai warna. Entah mengapa hari ini hatinya begitu tenang. Merasa tidak perlu ada yang mahu dirisaukan. Senyumannya lebar terlukis di wajah. Sehinggakan sahabat-sahabatnya hairan. Apabila ditanya, dia juga tak mengerti. Jawapannya, mungkin Allah nak uji. Apapun jawapannya, sahabatnya tahu Imran pandai mengurus hal dirinya meskipun kekadang nampak pelik di mata mereka.

“Assalamualaikum, err..tumpang tanya ?” sapa seorang gadis di depan pintu kelas kuliah. Terkejut Imran. Dia istighfar berkali-kali. Namun senyuman mesra diberikan kepada gadis itu.

“Waalaikumussalam, ye ?” jawab Imran.

“Sini kelas pengajian syariah ke ?” soal gadis bertudung litup tadi.

Imran mengangguk. Setelah itu, gadis tadi mengucapkan terima kasih. Lalu pergi meninggalkan Imran. Seperti pernah melihat gadis itu. Wajahnya seperti biasa hadir di matanya. Ah, mainan syaitan andai dia terusan membayangi gadis tadi. Dia istighfar panjang.

…………………………………………………………………………………………

Balik dari kelas, Imran terus membersihkan dirinya. Solat Maghrib kemudian membuka Kalamullah yang sudah menjadi kewajipannya untuk membaca dan merungkai isi Alquran itu. Selesai membaca, Imran meneliti pula tafsirannya. Hatinya berdetak laju membacakan ayat 34 surah An-Nisa`. Entah mengapa dia merasakan berdebar selaju itu. Bibirnya menutur lagu zikir, cepat-cepat mengingati Allah sambil mengharap memberikannya jawapan atas benak persoalan yang bermain di mindanya.

Imran mengambil posisi duduk di kerusi meja belajarnya. Perlahan membuka laci, malam ini seakan mahu menulis diari. Dia mengambil diari yang lama tidak dijenguk apatah lagi mahu mencoret. Imran terlihat sehelai kertas lukisan yang telah terlakar wajah seorang hamba Allah. Ya, hamba Allah yang telah bertamu ke dalam mimpinya. Bersama senyuman yang tak tergambar sebarang kesulitan. Mesra dan ceria. Imran membentangkan kertas lukisan yang telah terlakar wajah seorang gadis. Gadis anugerah Allah yang dihadirkan dalam mimpi lenanya meskipun tak pernah berjumpa. Lukisan itu sudah berusia setahun. Punya tarikh ’23 December 2009’ di bawahnya. Dan hari ini adalah 23 Disember 2010, genap setahun usia lukisan itu. Jua tarikh dia berjumpa dengan seorang gadis hanya beberapa saat sahaja. Sungguh membuatnya lebih berdebar, wajah gadis yang terlakar di atas sehelai kertas itu seakan mirip dengan gadis yang baru menyapanya di kelas tadi. Ya Allah, siapa dia yang telah Kau hadirkan di dalam mimpiku jua di alam nyataku ini ? Bisik hatinya. Imran tunduk, mencari tenang. Dia tekad, meneruskan qurbah Lillah.

‘Ya Allahu Fattah, andai engkau mengetahui bahawa urusan ini baik untukku dalam agamaku dan duniaku dan akibatnya di dunia dan di akhirat, takdirkanlah ia untukku dan berkatkanlah aku di dalamnya. Justeru senangkanlah ia untukku. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusanku ini buruk bagiku dalam agamaku, duniaku dan akibatnya pada dunia dan di akhirat, maka palingkanlah aku daripadanya dan jauhkanlah ia daripadaku. Jua takdirkanlah kebaikan di mana saja aku berada’

Istikharah di kelam malam jagaan Allah. Imran memohon diberi jawapan pengakhiran hidup sendirian yang baik.

…………………………………………………………………………………………….

Sebaik memasuki kelas di awal pagi yang masih lagi banyak kekosongan tempat duduk, Imran memberi salam perlahan. Ada sahabatnya yang datang awal juga menyahut salamnya. Jua dijawab seorang gadis bertudung krim susu, gadis yang ditemuinya semalam. Imran hanya memandang sekali, kemudian menunduk sambil mengambil posisi beberapa langkau di belakang gadis tersebut. Hatinya kini pasrah dan tawakal hanya pada Allah semata. Semua kerana Allah !

“Assalamualaikum, kaifa halukum ?” sapa pensyarah kepada pelajar.

“Waalaikumussalam ya mualimah ! Bikhoir daeman.” Sahut para pelajar.

“Baik, today we have new student. Ha, you ! Sweet, can you introduce who are you ?” tunjuk pensyarah pada gadis tadi. Gadis itu bingkas bangun ke hadapan.

“Assalamualaikum semua.” Salam gadis tersebut dijawab dengan sambutan yang mesra. Kemudian dia menyambung semula. “Ana diberi nama Aisyah Humaira` binti Hakimi. Ana dibesarkan di negeri Serambi Kota Mekah, Kelantan. Habis STAM, ana apply untuk terbang ke Yaman meneruskan pengajian dalam bidang studies banking in Islam. Kemudian ana lanjutkan sarjana ana dalam bidang Syariah. 2 tahun di sana, dan ana ambil 2 tahun di sini. Salam ukhwah fillah..” terang Aisyah, gadis yang hadir dalam mimpi Imran.

“Syukran jazilan ya Aisyah Humaira`. Ukhti boleh ambil tempat ukhti semula. Baiklah, hari ini kita sambung pembelajaran seperti biasa ya ? Bukak…” hanya suara pensyarah yang berkelola. Imran sesekali mencuri pandang gadis yang bernama Aisyah tadi. Namanya juga seperti biasa dia mendengarnya. Entah, mungkin perasaannya sahaja. Selebihnya dia hanya berserah pada Allah.

……………………………………………………………………………………………

Sudah sebulan Aisyah menuntut di institusi pengajian tinggi bersama-sama Imran. Namun belum satu pun salam taaruf Imran beri. Tanda apa ? Tanda hatinya sudah yakin Aisyah adalah pilihan yang Allah pilihkan untuknya. Hari ini, Imran tekad. Dia mahu menyampaikan salam taarufnya pada gadis pilihan melalui orang tengah iaitu pensyarahnya.

Sebaik habis kuliah, cepat-cepat dia mengambil langkah menuju ke bilik pensyarahnya. Belum sempat tombol pintu pensyarah mahu di pegang, telefon bimbitnya berdering. Terkejut, sudah hatinya berdebar-debar. Ada pula yang masih memerlukannya. Dilihat skrin telefon bimbitnya. Umi. Tanpa lengah, dia menjawab panggilan dari ibunya.

“Assalamualaikum, ye umi ? Sihat ? Ada apa umi telefon Im ?” bertalu soalan yang ada di benak hatinya dikeluarkan sahaja. Seingatnya, baru malam tadi dia menelefon ibunya menyatakan hasratnya untuk membina mahligai ke syurga.

“Waalaikumussalam.. Umi sihat-sihat je Im. Baba pun sihat. Ni, pasal malam tadi tu. Baba kata, dia dah ada pilihan yang baik dan sempurna untuk Im. Dia suruh Im balik sabtu ni, Baba nak bincang dengan Im sekaligus kalau Im setuju, kita boleh pergi merisik sekali. Baba dan umi tak menghalang kehendak Im, tapi umi nak Im fikirkan masak-masak. Imran Nasyeet, umi nak anak umi bahgia dengan kehidupannya nanti. Baba pun sama. Kalau Im tak keberatan, Im baliklah ye ?” ulas ibunya.

Pilihan Baba dan Umi ?

Hatinya luruh seluruhnya. Apakah ini ujianMu Tuhan ? Ya Allah, jagalah hatiku ya Rabbi. Jauhkanlah ia dari perkara yang tidak Engkau redhai. Ku mohon ya Allah. Pinta hati Imran. Air matanya terus berjurai mencecah lantai. Kakinya meluncur laju meninggalkan kampus.

……………………………………………………………………………………………..

Sabtu petang yang damai. Imran masih mencuba untuk mendamaikan hatinya meskipun sudah menjejakkan kaki ke rumahnya di Ipoh. Burung-burung yang berkicau dan beterbangan di dada langit menambah kesyukurannya pada Pencipta Alam.

“Imran…” sapa Baba. Mengejutkan lamunannya.

“Oh, baba..” Imran menyambut dengan senyumannya. Keliru sama ada senyuman itu terpaksa atau sebaliknya. Baba turut mengukir senyuman. Dia tahu anaknya sedang memikirkan segala macam hal.

“Im dah tahu apa yang baba nak bincangkan ni kan ? Umi dah bagitahu kan ?” soal Baba. Posisinya betul-betul menghadap Imran yang duduk di meja batu halaman rumahnya.

Imran hanya mengangguk. Tangan kirinya berpaut pada tangan kanan. Mencipta kekuatan hati.

“Baba dah kenal keluarganya semenjak dari sekolah menengah lagi. Kami dah berukhwah erat kerana Allah dan inginkan segalanya abadi sehingga ke syurga Allah. Baba tahu Im dah ada pilihan hati. Tapi baba nak Im fikirkan baik-baik ye ? Dulu Im pernah main sama-sama dengan dia. Cumanya Im dah hilang ingatan semenjak kemalangan dulu. Imran, can you try this ?” pinta baba.

Imran lemas, seperti paksaan. Namun dia tetap mencuba cari jawapan yang dapat memberi kesenangan pada hati babanya. Imran membetulkan posisinya, merenung mata baba.

“Hmm..baba, macam ni la.. Its your friend right ? And I`ve lost my mind. Kita pergi lawat kawan baba tu, niat pertama hanya untuk lawat k ? Then, Imran kena tengok dulu how ‘my future wife’ tu.. Baru Im boleh bagi jawapannya k ?” Imran mencipta rancangannya. Baba kelihatan terkejut. Imran sudah membuat muka rayunya. Baba diam, memikirkan seketika.

“Fine. You do what you want right ? Okey, tomorrow kita bertolak ke Kelantan.” Ujar baba.

“Tomorrow ? Kelantan ?” terkejut sungguh Imran tak menyangka babanya lebih pantas membuat keputusan.

……………………………………………………………………………………………..

Kelantan, negeri Serambi Kota Mekah. Kekuatan Islam boleh ditemui di dalam negeri itu. Jua negeri ini mengingatkan Imran pada seorang gadis yang selalu hadir dalam mimpinya.

“Maafkan aku Aisyah Humaira`…” bisik hatinya.

Setelah setengah jam bertolak dari rumah penginapan mereka di Bachok, kini kenderaan Proton Jebat Imran diparkingkan di hadapan banglo mewah yang terletak di Machang. Baba dan umi lah yang paling semangat. Sebaik turun dari kereta, mereka cepat sahaja disambut oleh tuan rumah. Meriah, Imran dapat merasakan mereka sememangnya rapat dari dulu seperti yang dikhabarkan oleh baba. Imran jua merasakan pernah bertemu dengan rakan baba dan umi. Cuma kemalangan yang menyebabkan ingatannya hilang, Imran tidak bias mengingat dengan sendiri. Baba dan umilah yang paling banyak memberi dorongan. Imran turut menyalaminya. Mereka dijemput masuk.

“Hakimi, inilah anak ana. Lepas SPM, dia belajar di Morocco. Dan insiden berlaku waktu akhir pengajiannya, Allah nak menguji kami sekeluarga. Syukur sangat pada Allah sebab masih selamatkan dia. Sebab tu, pengajiannya dilanjutkan di Malaysia saja.” Panjang baba menerangkan serba serbi diri Imran. Imran hanya tersenyum simpul. Dia menunduk malu.

“Itulah. Ana pun tak sangka Imran dah besar. Dah macho lah !” En. Hakimi, sahabat baba. Terhurai tawa mesra mereka.

“Saya biasa-biasa je, pakcik.” Ujar Imran.

“Umur Imran sekarang dah berapa, ye ?” soal Pn. Aqmar. Daripada yang terzahir di matanya, Pn. Aqmar kelihatan tersenyum dan ceria walaupun berpurdah.

“Imran tahun ni masuk 26.” Senyuman terukir di bibirnya.

“Oh, haah ! Lupa pulak yang Ecah setahun muda dari Imran.” Terang Pn. Aqmar.

“Oh, ye..cakap pasal Ecah, mana dia ?” soal umi. Imran semakin berdebar. Ecah ? Seperti pernah dia mendekati orang itu.

“Ada, kat dapur.” Jawab En. Hakimi.

“Waled,umi,Cik Zul dengan Cik Is, jom ! Jemput ke meja makan.” Panggil seorang gadis dari arah dapur. Kemudian meluru ke ruang tamu. Bersalaman dengan umi.

Imran terkedu, terkaku, terbisu, terkelu dan segala macam ter lagi.

……………………………………………………………………………………………..

Imran masih gugup untuk menuturkan patah bicaranya. Insan yang di hadapannya sekarang bukanlah insan yang biasa. Seperti yang dikhabarkan umi dan baba, dia adalah insan yang selalu bersamanya ketika waktu dahulu. Jua akan menjadi insan yang sentiasa bersamanya dan disisinya kelak.

Aisyah Humaira` Binti Hakimi. Hatinya berdetak laju. Imran dan Aisyah masih berdiri di halaman taman landskap rumah En. Hakimi. Kehijauan yang mendamaikan tidak bisa menenangkan hati yang dalam debar perasaan.

“Tak sangka kita rupanya kan ?” mula Aisyah. Dia seperti memahami situasi Imran. Meskipun wajahnya dihijab kain purdah. Imran merasa ada senyuman di sebalik hijab itu.

“Hmm..there’s no accident, ya ukhti.” Tenang Imran berbicara. Mata masing-masing melihat makhluk ciptaan Allah yang sedang berenang-renang di dalam kolam.

“Na`am. Ana ingat lagi, akh Im lah yang ana jumpa di bilik kuliah hari tu. Dari hari tu, ana rasa macam pernah lihat akh. Dan hari ini, baru ana ingat segalanya. Akh Imran inilah yang pernah menjadi teman sepermainan ana masa kecik dulu.” Cerita panjang Aisyah. Sayangnya, Imran langsung tidak ingat akan memori dan nostalgianya dulu. Mukanya muram tiba-tiba.

“Asif….ana tak bermaksud nak..”

“La ba`say a ukhti.” Imran senyum. “Ana memang tak ingat apa-apa. Dan sebab itulah ana nak mengingatnya kembali.” Sambung Imran.

Aisyah turut tersenyum. Dia akui, teman ketika kecilnya ini jua pernah singgah di dalam lena tidurnya. Adakah angan ? Bukan. Semenjak Umi dan Walednya mahu kebahgiaan bahtera rumahtangga dibina di dasar hati Aisyah, dia mula membuat Istikharah. Mimpi yang menghadirkan wajah seorang pemuda yang dia tidak kenali. Sulit. Hanya mengharapkan jawapan dan terus menunggu daripada Allah. Inilah taqdir Allah. HakNya, kebenarannya jua janjinya. Perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik. Imran Nasyeet telah dihadirkan Allah untuk menjadi pilihan hatinya ke syurga.

……………………………………………………………………………………………..

Saat lafaz sakinah bermula. Saat dan ketika En. Hakimi meletakkan amanah menjaga anak gadisnya pada seorang hamba yang dipilih Allah untuk menjaga anaknya kini. Seindah ukhwah ke syurga, dahi Aisyah Humaira` dicium Imran Nasyeet. Tangan Imran pula dikucup Aisyah. Mekarlah hubungan mereka hingga ke Jannatullah. Cinta yang ditemukan dalam ilham Istikharah.

“Waled harap, kalian dapat bersama dalam susah senang. Setia dalan suka dan duka. Korbankan kepentingan diri untuk kepentingan bersama. Waled dan umi doakan kalian bahagia bersama mengemudi bahtera. Kalianlah nakhoda bahtera yang kalian bina ini.” Ucap En. Hakimi sambil menitiskan air mata kebahgiaannya memeluk Imran. Imran jua menumpahkan air matanya.

“Waled, Im akan jaga Aisyah Humaira` dengan sepenuh tanggungjawab Im. Im akan didik dia menjadi wanita syurga untuk menjadi bidadari Im nanti.” Ujar pula Imran. Tangan En. Hakimi dan Pn. Aqmar dikucupnya. Tanda restu dan keredhaan yang diharapkan.

……………………………………………………………………………………………

“Aisyah, bidadariku. Abang tidak mengharapkan janji-janji kerana abang jua tak dapat memberikan janji yang pasti. Abang hanya mengharapkan kita kemudi bahtera kita sama-sama ye ? Bersama zuriat yang bakal menyerikan mahligai kita.” Pinta Imran dalam hening malam yang dingin di atas tikar sejadah.

“Abang, seperti abang menerima Aisyah seadanya. Aisyah jua menerima abang seadanya. Tiada janji, hanya Allah yang dapat memberikan kepastiannya. Aisyah mahu menjadi bidadari syurgamu, ya Akhi Habibi.” Senyum Aisyah. Kini tawa dan senyum jua tangis sedihnya, Imran bisa tatapi halal dari bening matanya.

“Dan bantu abang untuk mengingat semula memori kita masa kecik-kecik dulu ye ?” pinta lagi Imran. Kali ini lebih kepada gurauan sepasang merpati.

“Oh, kenangan dulu ye ? Ingat tak pasal epal cinta ? Aisyah ingat lagi…” sahut tawa mereka.

Hari-hari mereka yang bakal dilalui penuh ranjau. Panjang dan masih panjang. Semoga kekal sehingga ke Syurga Allah………

4 comments:

  1. najah ke yg tulis cerpen ni...? sedap jalan cerita dan gaya bahasanya..

    ReplyDelete
  2. kak ina :) ye, ni najah yg tulis..
    tp mcm gaye owg besar lak en..huhu..
    pepon,mset kat cni juz..
    igt janji Allah itu pasti ! :)

    ReplyDelete
  3. waaaa..
    best2 kak najahah!!
    khusyuk kite bace..
    huk3~
    mcm kenal je name2 dlm kisah ni..
    hihi~
    tbaekla kak najahah!
    bole jd novel writter ni..huk3~
    (^_^)..suke..~

    ReplyDelete
  4. hamdan lillah :)
    ini je yg smpat solehah..knal ? hehehe..smpena mgenang dy jugak..hehehe
    insyaAllah kalau Allah mletakkan akk kat sidang pyeri seni, akk nak jd :)

    ReplyDelete

Terima kasih kerana prihatin ye ^^